Selasa, 12 Agustus 2014


Taipei – Langkah China mempertingkat kekuatan tenteranya sejak dua dekad lalu membolehkannya memiliki keupayaan menawan Taiwan pada 2020.

Pihak berkuasa Taipei percaya, China mampu melakukannya tujuh tahun lagi meskipun sekutunya cuba membantu, menurut laporan tentera di sini semalam.

Perbelanjaan tahunan tentera China meningkat secara puratanya hingga dua digit sejak 20 tahun lalu, menurut Laporan Pertahanan Kebangsaan Taiwan 2013. Selain kekuatan tentera, kemampuan China dalam penyelidikan dan pengeluaran senjata juga meningkat yang membantu tenteranya untuk menjadi kuat dan memberi ancaman besar kepada Taiwan.

Antara senjata baru China yang dimiliki menerusi pengeluaran sendiri atau dibeli dari Russia termasuk kapal selam konvensional dan berkuasa nuklear, jet halimunan, pesawat pemberi amaran awal dan peluru berpandu balistik serta udara.

“Dengan memperkukuh kekuatannya secara berterusan, China akan berupaya menawan Taiwan secara kekerasan pada akhir 2020,” menurut laporan itu.

Sekat campur tangan

Laporan itu juga merujuk kepada keupayaan tentera China untuk menyekat campur tangan asing selepas dasar Amerika Syarikat memberi tumpuan di Pasifik tersekat kerana masalah bajet.

Amerika dalah sekutu utama Taiwan. Pada 1996, ia menghantar dua armada kapal pengangkut pesawat ke perairan dekat pulau itu selepas China melancarkan peluru berpandu ke laut untuk memaksa penduduk Taiwan tidak mengundi Presiden Lee Teng-hui.

Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempunyai 2.27 juta anggota dengan bilangan tentera darat seramai 1.25 juta.

Sebanyak sepertiga anggota tenteranya ditempatkan berdepan dengan Taiwan. Penganalisis tentera berkata, China menyasarkan pulau itu dengan 1,600 peluru berpandu balistik.

Bagaimanapun, Taiwan mengurangkan perbelanjaannya dari segi pertahanan dengan bilangan askar semakin kurang kepada 215,000 daripada 240,000 anggota pada masa ini. – AFP

Categories: , , ,

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!